Ustaz Julas janji perubahan di Kuala Linggi

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Julasapiah Kasim menggariskan dua perubahan yang bakal dibawa beliau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Kuala Linggi.

Menurutnya yang juga dikenali dengan panggilan Ustaz Julas, dua perubahan tersebut adalah pembangunan insan dan pemodenan fizikal.

"Kedua-dua perubahan ini mesti sama sealiran supaya masyarakat dan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna apabila DUN Kuala Linggi ditadbir oleh PH.”

"Itu merupakan hasrat dan cita-cita murni untuk menjadikan Kuala Linggi ini sebagai satu tempat yang bukan sahaja cantik dipandang mata tetapi ia juga boleh menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang datang ke sini," katanya menerusi satu klip video di Youtube Suara Untuk Semua.

'Suara Untuk Semua' adalah saluran yang disediakan bagi setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyampaikan ideologi politik dan dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

 

Berhampiran Selat Melaka

Tambahnya, di samping dua perubahan tersebut, beliau turut berazam untuk merubah keadaan sosioekonomi penduduk DUN Kuala Linggi kepada satu tahap yang lebih baik.

"Kebetulan pula Kuala Linggi terletak berhampiran dengan pantai Selat Melaka dan kita boleh perkembangkan sektor ekonomi dan secara tidak langsung ekonomi masyarakat dan penduduk di sini dapat dipertingkatkan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Julasapiah KasimPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :